
1. Pengenalan
Durian belanda atau nama saintifiknya Annona muricata merupakan sejenis tumbuhan malar hijau daripada keluarga Annonaceae yang tumbuh secara meluas di kawasan tropika dan subtropika, termasuk Asia Tenggara, Amerika Tengah, Amerika Selatan, dan Afrika. Tumbuhan ini tidak hanya bernilai dari sudut komersial buahnya, malah keseluruhan bahagian tumbuhan ini terutamanya daun telah dieksploitasi dalam perubatan tradisional merentasi pelbagai budaya di serata dunia sejak sekian lama.
2. Penggunaan dalam Perubatan Tradisional Secara tradisinya, daun durian belanda sering digunakan dalam bentuk rebusan (dekoksi) atau infusi untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Kajian etnobotani merekodkan bahawa masyarakat di pelbagai benua menggunakan daun durian belanda untuk merawat demam, kesakitan, masalah pernafasan, jangkitan parasit, diabetes, hipertensi, dan pelbagai jenis kanser. Sebagai contoh, di kawasan kepulauan Caribbean, daunnya digunakan di dalam mandian untuk merawat penyakit kulit, manakala di Malaysia, ia digunakan secara tradisional untuk merawat jangkitan parasit serta malaria.
3. Komposisi Fitokimia Bukti saintifik terhadap potensi rawatan perubatan daun durian belanda ini didorong oleh kehadiran pelbagai sebatian fitokimia bioaktif. Kajian fitokimia telah mengenal pasti lebih daripada 200 sebatian aktif pada tumbuhan ini, dengan kumpulan yang paling dominan ialah asetogenin, alkaloid, dan asid fenolik. Asetogenin seperti annonacin dan annomuricin merupakan sebatian unik keluarga Annonaceae dan ia bertindak sebagai fitokimia bioaktif utama untuk spesies ini. Selain itu, daun durian belanda juga mempunyai kandungan flavonoid (seperti kuersetin dan rutin) serta alkaloid (seperti reticuline dan coreximine) yang tinggi.
4. Bukti Saintifik Aktiviti Farmakologi
- 4.1 Aktiviti Antikanser dan Sitotoksik Penggunaan daun durian belanda sebagai rawatan kanser tradisional mendapat perhatian penyelidikan yang amat meluas. Pelbagai ujian in vitro dan in vivo membuktikan bahawa ekstrak daun ini menunjukkan kesan sitotoksik yang selektif terhadap pelbagai sel kanser, termasuk kanser payudara, kolon, paru-paru, dan pankreas. Keupayaan utama ini didorong oleh komponen asetogenin yang merencat kompleks I mitokondria pada sel kanser, yang mana ia akan menghalang penghasilan molekul tenaga adenosin trifosfat (ATP). Tanpa ATP, sel kanser tidak dapat membiak lalu mendorong proses kematiam sel secara terancang yang dikenali sebagai apoptosis.
- 4.2 Sifat Antioksidan dan Antiradang Daun durian belanda amat kaya dengan antioksidan semula jadi, terutamanya sebatian asid fenolik dan flavonoid yang memainkan peranan penting dalam meneutralkan radikal bebas dan mengurangkan tekanan oksidatif di dalam tubuh. Tekanan oksidatif adalah punca utama bagi banyak penyakit kronik. Pada masa yang sama, ekstrak daun ini juga terbukti memiliki sifat antiradang yang signifikan dengan kemampuannya menghalang penghasilan pengantara keradangan utama seperti nitrik oksida (NO), Tumor Necrosis Factor-alpha (TNF-ฮฑ), dan pelbagai jenis Interleukin (seperti IL-6 dan IL-1ฮฒ) pada peringkat selular.
- 4.3 Aktiviti Antidiabetes dan Hipoglikemik Sifat hipoglikemik daun durian belanda mula dibuktikan di dalam kajian model haiwan (tikus) yang menunjukkan kadar penurunan paras glukosa darah yang amat ketara. Mekanisme ini disumbangkan oleh kumpulan fitokimia tertentu (terutama flavonoid dan tanin) yang berkeupayaan untuk merencatkan fungsi enzim pencernaan karbohidrat seperti alfa-glukosidase dan alfa-amilase. Ini sekaligus mengurangkan penyerapan glukosa masuk ke dalam saluran darah serta membantu menguruskan keadaan pesakit diabetes mellitus.
- 4.4 Aktiviti Antimikrob dan Aplikasi Biopestisida Kajian juga membuktikan daun durian belanda mempunyai keupayaan antibakteria yang berkesan terhadap patogen klinikal seperti Salmonella, Escherichia coli, dan Staphylococcus aureus yang bertindak dengan merosakkan dinding serta membran sel patogen. Selain itu, berikutan kesan biologinya yang toksik terhadap serangga dan ulat, ekstrak tumbuhan ini turut diproses sebagai biopestisida. Amalan memanfaatkan estrak ini adalah mesra alam dan sangat bersesuaian dengan sistem pertanian lestari yang mengaplikasikan penanaman menggunakan baja organik sebagai ganti kepada bahan kimia sintetik.
5. Isu Ketoksikan dan Keselamatan (Neurotoksisiti) Walaupun terdapat pelbagai kebaikan terapeutik yang disokong oleh sains, penggunaan daun durian belanda menuntut pengawasan yang serius mengenai soal keselamatan. Penggunaan ekstrak atau sebatian pada kepekatan tinggi dan dalam tempoh masa yang panjang mendedahkan pengguna kepada risiko ketoksikan saraf (neurotoksisiti). Hal ini kerana penemuan ke atas komponen annonacin dan sesetengah alkaloid menunjukkan bahan ini boleh menembusi parenkima otak dan menurunkan aras ATP dalam sel neuron dopaminergik, sekaligus dikaitkan dengan sindrom penyakit Parkinsonisme atipikal.
6. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, daun durian belanda (Annona muricata) mempunyai nilai farmakologi dan spektrum aktiviti biologi yang sangat berpotensi. peralihannya daripada sekadar ubat tradisional kampung kepada kajian perubatan berasaskan bukti saintifik mempamerkan kejayaan besar untuknya diangkat sebagai agen antikanser, antioksidan, antidiabetes dan antiradang masa hadapan. Walau bagaimanapun, ujian dan percubaan klinikal yang sewajarnya ke atas subjek manusia harus diteruskan secara terperinci bagi menentukan garis panduan dos selamat dan bagi merungkai interaksi ketoksikannya.



